Isnin
Apabila sahabat kita kehilangan dompet ketika menghadiri ceramah di masjid, kita pasti akan mengatakan, "Sabar ya awak, pasti ada hikmah di sebalik semua ini."
Apabila adik kita menerima keputusan peperiksaan yang agak kurang memuaskan, kita tidak pernah lupa untuk berpesan, "Sabar ya adik, cuba lagi untuk peperiksaan yang akan datang."
Apabila guru kita kehilangan suami yang tersayang dalam sebuah kemalangan, kita juga cuba berkata, "Sabar ya cikgu, moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan solehin."
Mudah, cukup mudah untuk kita menyarankan kepada mereka yang ditimpa kesusahan untuk bersabar. Bagaimana dengan kita? Cukup sabarkah apabila menerima teguran? Cukup sabarkah untuk menerima sebuah kehilangan? Cukup sabarkah untuk menerima kegagalan? Cukup sabarkah untuk menerima kemarahan?
Lain orang lain ujiannya, lain orang, lain bahagiannya, hatta, jangan lupa bahawa kesenangan juga sebenarnya memerlukan kita untuk bersabar.
Surah AlBaqarah, ayat 286 :
"Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya."
Betapa penyayangnya Allah apabila memberi sesuatu sesuai dengan keadaan kita sendiri. Bahkan semua itu bukan sia-sia tanpa ada hikmah di sebaliknya. Jadi, frasa everything happen for good reasons juga adalah sangat tepat.
"Achik pernah dengar tak orang kata 'sabar pun ada hadnya'?" Abah memulakan bicara sambil memandu kereta dengan tenang. Saya mengangguk-angguk tanda mengiakan.
"Abah tak setuju dengan kata-kata macam itu, nak tahu kenapa?" sambung Abah lagi.
"Nak, nak!" saya menjawab dengan penuh teruja.
Mari kita rujuk kembali kepada sirah Nabi Muhammad s.a.w. yang kita pelajari dalam Fiqh Sirah Nabawiyyah. Ujian yang ditimpakan ke atas Baginda sangat hebat.
Kehilangan ayah sebelum dilahirkan, kematian ibu ketika masih kecil, datuk pula pergi menghadap yang Maha Esa ketika baru mahu bermanja, bapa saudara dijemput pulang ketika sedang menghadapi tekanan, kemuncak yang paling tinggi seterusnya pula ialah ketika Khadijah Binti Khuwailid dipanggil pulang oleh yang Maha Besar. Konklusinya, semua insan yang Baginda kasihi diambil kembali oleh Allah.
Belum lagi dikira ujian ketika mahu menyebarkan risalah-Nya. Dibaling najis, dihujani batu, dipulau oleh kaum sendiri, cedera dalam peperangan, dan macam-macam lagi. Zaman Baginda bukannya ada Facebook, YM, Skype, internet mahupun telefon bimbit seperti kita sekarang untuk digunakan bagi memudahkan penyebaran da'wah.
Namun berkat kesabaran, ketabahan, kekuatan, dan kecekalan Baginda, Islam sampai kepada kita dan hari ini kita dapat mengenal Allah juga merasai indahnya Iman, alhamdulillah.
Mungkin ada sesetengah mengatakan bahawa Baginda dapat menghadapi ujian-ujian tersebut kerana Baginda merupakan seorang Rasulullah.
Sedarlah, Baginda juga manusia biasa seperti kita, yang membezakan cuma Baginda ditugaskan membawa risalah Allah serta mempunyai keimanan yang benar-benar mantap. Tambahan pula, ujian yang Baginda hadapi sesuai dengan kemampuan Baginda sendiri. Ujian yang hebat untuk manusia yang hebat, bukankah itu sifirnya?
"Sebab itu sabar sebenarnya tiada had, sabar itu indah, hanya kita yang perlu bijak memilih untuk sabar atau tidak," Abah menghabiskan tazkirah ringkasnya hari ini dengan senyuman.
"Kalau macam tu, Abah tak boleh marah-marah kitorang lagi lah kan?" saya mengusik.
"Itu dah masuk tarbiyatul awlad pulak, tak sama situasi," kata Abah meneruskan bicara.
"Hehe, baiklah Abah."
Kita boleh mengatasi segala ujian yang Allah berikan dengan tenang jika kita punyai pergantungan yang tinggi kepada-Nya, insya-Allah. Ingatlah bahawa kita ini hanyalah manusia yang fitrahnya lemah. Jangan pernah lupa bahawa kita adalah hamba Allah s.w.t.
Jadi, kita layak diuji kerana kita hanyalah hamba-Nya!.
Kha,
Izinkan diri ini bermadah pujangga, agar dapat berkongsi rasa..
Sesekali ku biar kalamku berbicara, kerana kata mereka mata pena itu lebih tajam dan menusuk jiwa.
Dalam kita melangkah terkadang kita diuji dgn ujian yg terasa beratnya hingga kita terduduk dan menangis menyesalinya.
Peritnya, kesakitannya dan kesedihannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tetapi ketahuilah dan renungilah kembali kerana mungkin air mata yg gugur tika itu hadir kerana Dia mahu kita menjahit sejadah iman yang kian terkoyak lantaran ada duri-duri yg tersasar daripada ruang keikhlasan.
Lalu ia membuatku terfikir akan kebijaksanaan-Nya terhadap semua perkara yang ditentukan-Nya..
Daku memohon sinar mentari yg cerah, Dia turunkan hujan yg mencurah-curah..
Aku mengeluh kerana cuaca tidak seperti yang aku harapkan. Sukar bagiku untuk bergerak kesana kemari, sukar bagiku untuk menjemur kain yang basah sedari semalam. Jika berterusan hujan begini, mungkinkah aku akan dapat pergi ke kuliah menaiki kenderaan awam?
Tetapi tidak ku sangka, Dia selangi hujan dengan pelangi yg indah. Lantas jiwaku yang gundah tidak lagi resah. Pelangi yang indah ku tatapi dengan kesyukuran pada-Mu Ya Allah..
Daku memohon setangkai bunga segar, namun Dia hadiahkanku kaktus yg berduri..
Aku mengeluh melihat kaktus itu. Berduri tajam, berwarna hijau tua. 'Alangkah tidak menariknya!,' bisik hati kecilku. Lalu ku biarkan ia diluar rumah tanpa jagaan.
Tetapi tidak ku sangka, Dia indahkan kaktus itu dengan bunga-bunga kecil yang berseri. Lantas jiwaku yang memberontak tidak lagi sesak. Aku belai kaktus berbunga itu dengan penuh rasa kasih sayang..Masya-Allah!
Daku ingin melihat kupu-kupu cantik, Dia hidangkan pandanganku dengan ulat bulu yang memakan tumbuh-tumbuhan milikku..
Aku kecewa kerana daun-daun bunga-bungaan ku habis berlubang dimakan ulat bulu. Hati terasa ingin marah. Segera aku dapatkan penyembur racun serangga dan ku pergi ke laman rumahku dengan tujuan untuk menyembur racun itu..
Tetapi tidak ku sangka, ulat-ulat bulu itu sudah tiada. Yang kulihat hanyalah beberapa ekor kupu-kupu dan rama-rama pelbagai warna terbang dengan gembira. Lantas ku terduduk malu kepada Yang Esa. Dijadikan-Nya ulat bulu yang dianggap perosak tumbuhan tetapi ditukarkan oleh-Nya ulat-ulat bulu tersebut menjadi kupu-kupu yang menari-nari diudara. Cantik! Maha Suci Allah!
Benar, Allah itu Maha Adil. Dia tidak memberi apa yang kita harapkan tetapi Dia kurniakan apa yang kita perlukan. Kadang-kadang kita kecewa dan terluka tetapi jauh di atas segalanya, Dia telah mengatur yang terbaik untuk kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 216:
".......Dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu sedang ia lebih baik bagimu, Dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui tetapi kamu tidak mengetahui.........."
Sometimes I asked for strength but Allah gave me difficulties so that i will be stronger.
Sometimes I asked for wisdom but Allah gave me problems so that i could think the ways of solving them.
Sometimes I asked for prosperity but Allah gave me brain so that i could use it to become a successful Muslim.
Sometimes I asked for courage but Allah gave me dangers so that i could find the ways to overcome those obstacles.
Sometimes I asked for love but Allah gave me tears so that i could drop them when I see those orphans live without love.
Sometimes I received nothing that I wanted but Allah always gave me everything that I Need.
LA TAHZAN YA MUSLIMIN, INNALLAHAMAAKUM!
Sab, 06
Saat memakai kasut untuk bermain futsal di gelanggang, mata tertancap pada seorang teman. Melihat dia menanggalkan seluar panjangnya, lancar mulut menegur " kenapa kau tak pakai aje seluar panjang tu?". "Tak biasalah pakai seluar panjang main bola, alergik," jawabnya sambil tertawa. Lihatlah, begitu mudah kita beralasan untuk meremehkan hukum Tuhan. Sama ada faham atau tidak, yang pasti kita tahu itu bukannya undang-undang ciptaan manusia yang banyak cacat cela.
Apabila memperkatakan tentang aurat tidak perlu rasanya memanjangkan bicara tentang erti dan makna bahasanya. Setiap insan yang bergelar Muslim pastinya akan mengerti bila dibahaskan perihal aurat.
Tanyalah pada anak kecil dalam lingkungan 9-10 tahun, mereka pasti mampu menjawab orang lelaki auratnya antara pusat hingga lutut. Manakala yang perempuan wajib tutup seluruh tubuhnya kecuali tangan dan muka.
Dalam firman Allah SWT: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian Yang berupa taqwa itulah Yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (al-A'raf:26).
Perintah Allah jelas, pakaian diciptakan sebagai pelindung keaiban fizikal manusia. Namun, realitinya berbeza, ramai dalam kalangan kita hari ini hanya menutup aurat apabila mengerjakan solat. Sedangkan tika bertebaran di muka bumi, tanpa segan silu mempamerkan aurat masing-masing.
Andaian kita
Kata orang, zaman ini zaman teknologi. Bukan zaman berbungkus-bungkus lagi. Hari ini semuanya berfesyen, dedah sana, dedah sini. Orang yang tunduk pandangan, berjalan sopan akan ketinggalan. Islam dipandang tidak up to date dengan zaman. Ada pula menyangka, aurat itu cukup dengan bertudung kepala. Baju ketat, lengan terdedah tidak mengapa. Disebabkan itu, etika berpakaian korporat lebih banyak yang bertutup tapi terbuka. Syarikat-syarikat pula menetapkan kod pemakaian yang menggiurkan kerana jika ikut syariat katanya susah hendak bekerja. Tidak sesuai.
Jum, 05
Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah daripada segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan. Daripada segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W. Sesungguhnya barangsiapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Ya! Saya Bangga Saya Muslim. Frasa ini tampak ringkas namun sangat mendalam maksudnya. Pernahkah terlintas di fikiran anda kata-kata seperti ini? Pernahkah anda menyatakan kepada teman-teman anda dengan ayat sebegitu? Mungkin ada yang pernah, namun kuantitinya mungkin boleh dikira.
Mutakhir ini, umat Islam seakan-akan hilang punca dan arah. Biarpun sejak lahir telah berstatus Islam namun ia tidak lebih sekadar paparan di muka hadapan kad pengenalan sahaja. Begitukah Islam kita?
Saudara Muslimku, bukankah kita patut berbangga dengan status Islam kita? Bukankah nikmat Islam itu adalah nikmat yang besar dan anugerah yang terindah daripada Allah? Tidak pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa kita manusia pilihan Allah untuk merasa nikmat Islam itu?
Kita seharusnya bersyukur dan merasa bangga menjadi seorang Muslim. Sebaik sahaja lahir ke dunia, kita telah pun dianugerahkan nikmat Islam. Tidak perlu bersusah payah menunggu taufik dan hidayah Allah sebelum memeluk Islam. Adakah kita lupa semua itu?
Cuba kita fikirkan sejenak bersama, bagaimanakah perihal mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang bukan Islam seperti kita? Mereka tidak mengenal Islam sejak kecil seperti kita. Tiada buku agama, tiada siaran ceramah, tiada gambar-gambar atau kisah sirah di hati mereka. Bukankah itu menyukarkan mereka untuk mendapat nikmat Islam?
Tidak seperti kita, mereka perlu berjuang untuk meraih taufik dan hidayah daripada Allah. Namun, sedarkah kita akan suatu hakikat yang nyata? Bilamana mereka yang bukan beragama Islam menerima taufik dan hidayah yang benar daripada Allah, kadangkala keislaman mereka jauh lebih baik daripada kita yang berbelas malah berpuluh tahun berstatus Islam.
Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T bermaksud:
Barang siapa diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk, dan barang siapa yang disesatkan Allah, maka merekalah orang-orang yang rugi. (al-A'raaf:178)
Mungkin pernah terlintas di hati kita persoalan seperti "kenapa perlu bersusah-payah mencari hidayah jika hidayah diberikan oleh Allah?" Sebenarnya, kita sendiri perlu berjuang dan berusaha mendapatkannya. Hidayah itu boleh datang dalam pelbagai cara. Mungkin dengan menghadiri kuliah agama atau majlis ilmu, mungkin ketika mendengar nasihat teman yang baik atau mungkin juga sejurus selepas anda membaca artikel ini. Hanya Allah yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu di langit dan di bumi.
Perumpamaan hidayah atau petunjuk ini pernah digambarkan oleh Imam as-Sya'rawi bahawa hidayah itu adalah seperti diri kita yang sedang bertanyakan alamat rumah seseorang. Kemudian kita mencari orang untuk bertanya alamat itu kepadanya. Lalu, kita terus mengikut petunjuk itu hingga sampai kepada alamat rumah tersebut.
Bukankah sebentar tadi kita telah berusaha mencari orang untuk bertanyakan alamat? Begitulah halnya dengan hidayah. Perlu berusaha mencarinya sebelum ia datang dan memandu hidup kita kearah yang diredhai-Nya.
Saudaraku sekalian, sebagai seorang Muslim, sewajarnya kita berbangga dengan nikmat ini. Tidak seharusnya kita merasa rendah diri dengan keislaman kita. Kembalilah dan masukklah ke dalam Islam seluruhnya. Sudah semestinya kita bukan Islam pada nama sahaja bukan? Berusaha dan berdoalah agar sentiasa dalam taufik dan hidayah Allah.
Katakanlah pada diri kita: Ya! Saya Bangga Saya Muslim.
Wed, 20 Oct 2010
Masa kecil saya pernah memikirkan, memang perlukah seorang yang dewasa ber'dating' sebelum melangkah ke alam perkahwinan?
Kenapa saya bingung akan hal ini? Kecil-kecil lagi sudah gatal?
Bukan begitu. Naluri kanak-kanak saya pada waktu itu merasakan tidak selesa dengan apa yang ditayangkan dikaca televisyen.
Jikalau ceritanya tentang pasangan kekasih, sudah pasti ada adegan keluar makan berdua-duaan sebelum punya ikatan yang sah.
Cerita tempatan apatah lagi luar negara, babak kekasih dilamun cinta sebelum berkahwin disusun dengan penuh teliti.
Tetapi saya memang bingung.
Memang perlukah begitu? Perlukah bercouple sebelum berkahwin? Nyata saya tidak selesa di awal usia kanak-kanak.
Cinta Monyet
Alhamdulillah, semasa di sekolah rendah mahupun sekolah menengah saya jauh dari memahami erti ataupun mengalami cinta monyet.
Istilah yang biasa tetapi sekadar mendengar.
Ada sahaja rakan-rakan yang ber'cinta' seawal darjah lima.
Saya bingung. Memang terlalu muda untuk memahami tentang perkara ini.
Maka tidak hairanlah mengapa saya bingung ketika itu.
Pelik dan mencari-cari sebab mengapa ada yang bercinta seawal usia di darjah lima.
Di sekolah menengah, lain pula ceritanya. Kisah bercinta menjadi lebih hebat.
Mungkin merasakan diri lebih matang sedangkan baru menginjak remaja.
Kisah cinta disekeliling saya bermacam-macam.
Kenyataan-kenyataan seperti; batch kami bercinta seperti tukar baju (pelajar batch tersebut sering bertukar-tukar pasangan ibarat menukar baju setiap hari), ada senior mengaku dia bercinta untuk mencari pengalaman.
Aduh! Saya menjadi semakin bingung.
Benarkah ini semua?
Erti couple, cinta dan perkahwinan
Kini setelah saya berusia dua puluh dua tahun, saya semakin mengerti.
Kisah pasangan berdua-duaan yang saya fikirkan semasa kecil, bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam.
Bahkan, Islam sebagai cara hidup menggariskan cara yang cukup indah dan sempurna untuk mengikat pertalian antara adam dan hawa.
Kisah cinta monyet yang membingungkan semasa di zaman sekolah juga dapat saya cari jawapannya.
Buku Tentang Cinta karangan Ustaz Pahrol banyak membantu saya untuk memahami isu ini.
Tambahan pula, semasa saya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, forum Tentang Cinta telah diadakan. Panel-panel terdiri daripada Ustaz Pahrol sendiri, Ustaz Hashim (trainer Fitrah Perkasa) dan Ustaz Hasrizal.
Panel yang hadir cukup berpengalaman kerana mereka jauh lebih dewasa dan sudah berkeluarga.
Islam dan Cinta
Islam menganjurkan lelaki dan wanita bertaaruf iaitu berkenal-kenalan sebelum mengikat pertunangan.
Cara bertaaruf menjaga adab dan syariat. Pasangan tidak berdua-duaan tetapi ditemani oleh orang tengah mahupun ibu bapa sendiri.
Bercinta pula perlu punya tujuan. Apa tujuan cinta monyet?
Sekadar suka-suka atau untuk mencari pengalaman? Jika benar, bukankah itu alasan-alasan yang menyedihkan?
Bercinta adalah berkasih sayang.
Mampukah untuk kita berkasih sayang dengan seseorang yang asing jika kita belum mampu menyayangi ahli keluarga sendiri?
Maka jika benar, kita berkasih sayang dengan orang luar perlu sama seperti berkasih sayang dengan ahli keluarga sendiri.
Tetapi adakah perkara ini benar-benar berlaku di antara pasangan yang menyatakan diri mereka bercinta?
Bagi saya, untuk memahami istilah cinta, saya perlu memahami erti mencintai diri sendiri, mencintai ahli keluarga, mencintai rakan-rakan dan yang lebih utama mencintai Allah dan RasulNya.
Saya perlu menguasai erti cinta ini sebelum mencintai seseorang yang asing - lelaki dalam hidup seorang wanita.
Terlalu teoritikal? Pandai-pandailah mencari cara untuk amalinya.
Semakin dewasa saya semakin memahami dan lihat sendiri teori-teori cinta secara praktikalnya (bukan saya yang bercinta, tetapi melihat realiti disekeliling).
Cinta itu perlukan kepercayaan dan tanggungjawab. Cinta itu memberi tanpa mengharap balasan.
Teori ini memang benar untuk menyelesaikan masalah-masalah perkahwinan yang saya ketahui(bukan menjaga tepi kain orang, tetapi mungkin diri sudah cukup dewasa memahami permasalahan ini).
Perkahwinan yang memang bergelora.
Sesekali terasa takut pula memikirkannya. Tetapi seperti kata emak; Jalan ini mudah sahaja jika manusia ambil jalan yang lurus. Tetapi hakikatnya, ada yang memilih yang bengkang-bengkok.
Jual mahal?
Setelah berusia dua puluhan dan masih tidak berpunya atau tidak pernah ber'boyfriend', maka masyarakat amnya masih mempunyai stigma bahawa tuan punya badan mungkin jual mahal.
Nasihat seperti , jangan jual mahal nanti tidak laku dan sebagainya dilontarkan.
Persoalannya, setelah beberapa perkara seperti di atas dibangkitkan, adakah benar bahawa seseorang yang tidak ber'boyfriend' itu wajar dikategorikan sebagai jual mahal atau memilih?
Atau mungkin tuan punya badan sekadar menongkah norma masyarakat kerana tidak bersetuju dengan gejala couple yang dipandang sebagai satu kemestian dan kebiasaan?
Atau mungkin tuan punya badan benar-benar memikirkan erti sebenar cinta dan berkasih sayang?
Isu yang berat untuk difikirkan bersama.
Masakan tidak, di dalam hadis daripada Nabi s.a.w. yang menegaskan dengan maksud bahawa :
"Sesiapa yang telah berkahwin dikalangan kamu maka dia telah sempurnakan separuh dari urusan agamanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah atau separuh urusan agama yang selebihnya".
Masakan cinta dan perkahwinan perkara yang main-main sekiranya sebesar ini ganjaran yang dijanjikan Allah.
Tulisan ini sekadar perkongsian yang sudah mula saya fikirkan sejak kecil lagi. Mencari-cari apakah formulanya sedangkan Islam memang ada jawapannya...
Sel, 21 Sep 2010
Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja.
Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.
"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami.
Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja.
Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.
''Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.
''Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala.
Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga.
Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam.
Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.
Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai.
Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya.
Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami.
Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam.
Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.
Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal.
Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan.
Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga? Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah.
Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.
"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain.
Betul juga ya? Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya?
Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.
Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal.
Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri.
Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.
Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami.
Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'.
Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!
Junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw bersabda, dari Ibnu Abbas ra ,
أيّها الناس، أين المفر؟ البحر من ورائكم، والعدوّ أمامكم، والله وليس لكم إل الصدق والصبر...
Tidak ada jalan untuk melarikan diri! Laut di belakang kalian, dan musuh di depan kalian: Demi Allah, tidak ada yang dapat kalian sekarang lakukan kecuali bersungguh-sungguh penuh keikhlasan dan kesabaran.
Telah nyata keberanian nenek moyang kalian! Mereka merupakan para pahlawan yang sanggup berjuang dan siap mati demi Islam! Dan telah nyata pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin kalian yang ada pada hari ini! Mereka malah menjadi agen, menjadi hamba yang menuruti arahannya Amerika.
Rab,
Wahai Kaum Muslimin!
Junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw bersabda, dari Ibnu Abbas ra ,
"Al-Liwa'uha baidho' wa ar-rayatuha sauda'!"
"Bahawa bendera Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam berwarna putih, sedangkan panji beliau warnanya hitam."
Inilah panji mulia yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw, para sahabat radhiallahu anhum dan para khalifah yang berani menentang kebiadaban puak kuffar! Inilah panji Rasulullah saw yang dipertahankan dengan darah dan nyawa Sahabat terkenal, Ja'far bin Abi Thalib ketika perang Mu'tah dimana umat Islam yag hanya mempunyai kekuatan 3000 orang menentang kekuatan Rom dan seluruh penduduk jazirah Arab yang berjumlah 200,000! Suatu nisbah yang tidak masuk akal, 1 nisbah 6! Seorang tentera kaum muslimin terpaksa berhadapan dengan 6 orang tentera kuffar!
Di dalam peperangan ini, Ja'far bin Abi Thalib yang di amanahkan oleh Rasullah saw untuk menjadi Amirul Jihad mengepalai kaum muslimin telah ditebas tangan kirinya yang memegang teguh panji Ar-Royah! Langsung disambut oleh tangan kanan beliau! Kemudian tangan kanannya pula dipotong tanpa belas kasihan, Ja'far bin Abi Thalib tidak mengalah, malah memeluknya dengan sisa tangan yang ada!
MasyaAllah, sahabat mulia ini akhirnya dilempar dengan lembing daripada belakang sehingga terbelah badan beliau syahid di medan peperangan! Rasulullah saw menganugerahkan gelaran Ja'far Al-Janahain kepada beliau, iaitu Ja'far yang mempunyai dua kepak yang kini sedang bebas berterbangan di jannatul Firdaus, Subhanallah! Inilah hasilnya setelah bermati-matian memperjuangkan panji Rasulullah saw! Ganjaran ini tidak mungkin didapati oleh tentera-tentera Turki, Pakistan, dan Malaysia yang bermati-matian berperang di Afghanistan di bawah panji kotor Amerika!
Bendera Jalur Gemilang juga tidak layak untuk dimuliakan oleh kita sebagai umat Islam yang mengucapkan kalimah Laa ilaha illallah, muhammadur Rasulullah! Bendera Jalur Gemilang ini adalah sebuah bendera yang dihasilkan melalui sebuah pertandingan yang telah mendapat kelulusan King George Vl pada tahun 1950! Maka tidak hairanlah kita kalau selama ini kita melihat bendera kita ini benar-benar mirip bendera Amerika! MasyaAllah!
Panji inilah juga yang diperjuangkan oleh Panglima Perang Thariq Bin Ziyad di zaman Khilafah Umaiyah yang telah memimpin futuhat ke atas Sepanyol pada tahun 711M. Setelah mendarat di sebuah tempat yang kemudiannya di namakan Jabal Thariq, beliau memerintahkan untuk membakar semua kapal dan berpidato di hadapan anak buahnya untuk membangkitkan semangat mereka:
أيّها الناس، أين المفر؟ البحر من ورائكم، والعدوّ أمامكم، والله وليس لكم إل الصدق والصبر...
Tidak ada jalan untuk melarikan diri! Laut di belakang kalian, dan musuh di depan kalian: Demi Allah, tidak ada yang dapat kalian sekarang lakukan kecuali bersungguh-sungguh penuh keikhlasan dan kesabaran.
Pasukan Thariq yang hanya berjumlah 7000 orang, terus menyerbu ke benteng pertahanan puak kufar di wilayah Sepanyol yang mempunyai kekuatan berjumlah 25,000 orang tidak sekali-kali mematahkan semangat mereka kerana sudah tidak ada apa-apa lagi yang perlu dirisaukan, jika mereka memenangi pertarungan ini, kaum muslimin akan mendapatkan kemuliaan, dan sekiranya mereka mati, mereka akan dinobatkan oleh Allah sebagai syuhada' fi sabilillah! Dengan berkat keimanan dan semangat mereka mengibarkan panji Rasulullah saw, Umat Islam menyebarkan cahaya Islam ke seluruh Sepanyol selama lebih dari 700 tahun lamanya!
Panji inilah juga yang diangkat tinggi oleh Pahlawan Agung Salahuddin Al-Ayyubi ketika menghadapi tentera Salib yang diketuai King Richard di dalam perang Hittin. Tentera Salib dengan sewenang-wenangnya menumpahkan darah kaum muslimin di Baitul Maqdis dan berpesta arak di atas mayat-mayat kaum muslimin yang darahnya mencecah sehingga ke lutut!
Shalahuddin Al-Ayyubi yang merupakan seorang Muslim berbangsa Kurdish tidak berdiam diri bagi menyelamatkan kehormatan umat Islam yang berbangsa Arab di Baitul Maqdis! Bagi menghadapi kekuatan tentera salib, Salahuddin Al-Ayyubi terlebih dahulu menyatukan kekuatan umat Islam di Syria, Mesir, Sudan, Yaman, dan Hijaz sehingga berupaya membalas kembali kebiadaban tentera salib yang mengakibatkan 30,000 tentera salib mati dengan hina di tangan tentera umat Islam!
Panji inilah juga yang di junjung tinggi oleh perwira umat Islam, Sultan Muhammad Al-Fatih ketika membuka kota Konstantinople yang menjadi kubu kuat Rom Byzantium! Rasulullah saw pernah mengkhabarkan kepada kita di dalam hadithnya ketika sedang menggali Parit Khandaq;
"..Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Amirnya adalah sebaik-baik Amir, tenteranya adalah sebaik-baik tentera......"
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Panji inilah juga yang dibawa oleh Sultan Saifuddin Qutuz yang memerangi tentera Monggol di dalam peperangan Ain Jalut, dalam rangka membalas dendam darah 1.8 juta kaum muslimin yang ditumpahkan di Baghdad! Tentera Monggol yang tidak pernah kalak ketika itu yang menguasai jajahan seluas Poland sehingga Korea menjadi kegerunan manusia seluruh dunia memberikan pilihan kepada Qutuz samada berperang atau menyerah.
Saifuddin Qutuz tidak melakukan hal yang menghinakan umat Islam sepertimana pemimpin umat Islam saat ini yang melakukan perjanjian damai dan bersalaman dengan musuh yang tangannya penuh dengan darah umat Islam. Namun Saifuddin Qutuz bangkit mengembalikan maruah umat Islam yang dicalar oleh puak kuffar monggol! Malah beliau menempelak pemimpin-pemimpin yang takut menghadapi musuh dengan berkata:
"Wahai pimpinan muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu tidak suka berperang. Aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad, temankan aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahnya. Allah akan memerhatikannya. Dosa kehormatan muslimin yang dicabuli akan ditanggung oleh orang yang tidak turut berjihad."
Wahai Kaum Muslimin!
Telah nyata keberanian nenek moyang kalian! Mereka merupakan para pahlawan yang sanggup berjuang dan siap mati demi Islam! Dan telah nyata pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin kalian yang ada pada hari ini! Mereka malah menjadi agen, menjadi hamba yang menuruti arahannya Amerika.
Mereka memberikan segala bahan galian kepunyaan umat iaitu minyak kepada Amerika dengan harga yang murah, mereka memberikan tanah-tanah umat kepada Amerika untuk membuat pangkalan tentera para syaitan yang memusuhi Allah, mereka memberikan ruang udara kita bagi mengebom saudara kita sendiri! Mereka menghulurkan tangan berjabat mesra dengan tangan pemimpin nombor satu umat Islam yang penuh dengan darah anak-anak Palestin, Iraq, dan Afghanistan! Apakah ini pemimpin-pemimpin seperti ini kita inginkan?
Jum,
Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.
Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah..
Rab,
Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.
Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).
Tiba-tiba terfikir satu persoalan.
Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?
Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?
"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37
"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62
Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perbuahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.
Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:
"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"
"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.
Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.
Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2
Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?
Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.
Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.
Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.
Sel, 03
Masya-Allah, Astaghfirullah.
Aku seolah-oleh baru tersedar dari mimpi. Mindaku seolah-olah baru bangun dari kelalaian yang lama. Aku sangat-sangat bersyukur kerana Dia masih menginginkan aku untuk berubah menjadi lebih baik. Menginginkan aku kembali merujuk kepada-Nya dalam melayari kehidupan ini.
Kedatangan rakanku bersama rakannya yang tidak aku kenali, benar-benar memberi hidayah kepadaku. Sememangnya rakan perempuanku itu telah memberitahu untuk datang ke rumahku pada hari itu. Setelah mendapat izin suamiku, aku pun menerima kedatangannya. Namun tidak disangka dia membawa seorang lagi kawan perempuannya yang tidak pernah aku kenal sebelum ini. Aku tidak tahu bagaimana hendak menolak kehadiran tetamu baruku itu kerana aku belum meminta izin suamiku. Inginku menelefon atau menghantar sms pada masa itu di hadapan tetamu, terasa tidak sesuai. Apa yang perlu aku lakukan? Hati aku berdolak-dalik. Sekiranya aku menjemput dia masuk, berdosa kah aku kerana tidak meminta izin suamiku dahulu? Kalau aku tidak menerima kehadirannya, apa pula perasaannya? Bagaimana kendak ku terangkan kepada tetamuku? Bukan aku tak sudi tetapi, aku tersepit antara adat dan tuntutan. Masya-Allah, sesungguhnya tuntutan adat sememangnya selalu bercanggah dengan tuntutan agama.
Otakku ligat membuat keputusan, yang akhirnya aku terpaksa membenarkan tetamu-tetamu ku masuk. Di dalam hatiku, hanya Allah yang tahu betapa rasa bersalahnya aku kerana mengizinkan orang lain masuk ke rumah tanpa izin suamiku. Pada masa itu juga aku telah bertekad untuk memohon maaf kepada suamiku bila pulang dari kerja. Semoga suamiku faham situasiku pada masa itu. Amin.
Ternyata, kedatangan kawanku bersama rakannya, ada hikmahnya dan memberi hidayah kepada aku. Selama ini aku sememangnya telah bertekad untuk berhenti mengumpat atau berkata tentang orang lain sama ada orang itu aku kenal atau pun tidak. Namun, bertahun telah berlalu, semakin aku usaha, semakin banyak pulak dugaan yang menggalakkan aku terus mengumpat tanpa tahu cara untuk mengelaknya. Tambahan pula jiran-jiranku terdiri daripada wanita-wanita yang sama sikapnya, iaitu mengumpat.
Ya Allah, setiap kali aku bersembang dengan jiranku, mengumpat itu mesti ada. Fitnah, entahlah. Aku pun tidak tahu. Aku yang tidak tahu apa-apa cerita tentang orang di sekitar aku kerana aku sememangnya tidak mempunyai ramai kawan, akan menjadi tahu hanya dengan bersembang bersama jiran-jiranku. Sama ada ceritanya benar atau tidak hanya Allah yang tahu. Setiap kali aku masuk ke rumah setelah habis bersembang, aku akan rasa bersalah sendiri. Aku memohon ampun kepada-Nya kerana mengumpat, namun ia berulang kembali. Aku belum mempunyai kekuatan untuk berubah. Aku sering mengingatkan diriku dengan sering membaca buku-buku azab Allah kepada sesiapa yang mengumpat supaya aku boleh berubah. Tetapi, itulah tipu daya syaitan laknatullah. Semakin kita berusaha untuk berubah, semakin kuat hasutannya.
Dengan izin Allah, Dia mendatangkan aku seorang tetamu yang tidak ku kenal, menceritakan masalahnya yang telah di burukkan oleh orang yang dia kenal dan baik hubungannya dimana orang tersebut juga merupakan salah seorang jiranku. Semakin dia bercerita, semakin banyak keburukan orang tersebut terbongkar. Tiba-tiba aku tersedar.
Maha Suci-Mu Ya Allah, kalau kita selalu menceritakan keburukan orang, Allah pasti akan membuka aib kita. Aku yang pada asalnya hanya kenal sedikit tentang insan itu, menjadi semakin kenal dengan sikap buruknya hanya dengan melalui cerita orang lain. Terbukti Allah telah membuka aibnya kerana sikapnya yang suka menceritakan keburukan orang lain.
Ia memberikan aku kesedaran dan keinsafan. Aku tidak mahu aibku di buka oleh Allah SWT. Aku benar-benar insaf. Pada masa itu juga aku bertekad untuk tidak mengumpat lagi. Azamku semakin kuat untuk berubah walaupun aku tahu cabarannya banyak. Sebagai langkah permulaan, aku menguatkan hati dengan berkata kepada kawan dan tetamu baruku itu agar semua ceritanya itu cukuplah sampai di sini sahaja kerana aku tidak mahu keaiban kita pula di buka oleh Allah.
Alhamdulillah, tetamu-tetamuku bersetuju. Begitulah halusnya cara Allah, dan aku bersyukur kerana aku diberi petunjuk, hidayah dan kekuatan untuk aku terus berubah. Sekarang ini, sekiranya aku bersembang, aku membuat keputusan agar otakku mendengar juga apa yang dituturkan oleh mulutku agar otakku boleh tapis dan menghalang agar aku tidak mengumpat lagi. Aku juga seboleh daya cuba mengelak dari banyak bercakap dan mengurangkan aktiviti suka bersembang bersama jiran-jiranku.
Semoga usahaku akan berjaya kerana aku tidak mahu di hidangkan dengan daging manusia di akhirat nanti. Insya-Allah.
Ahd, 20
Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.
Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran tentang kehebatan syurga Allah SWT yang sempat saya kumpul :
"Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka." (Surah Ar-Ra'd; 35)
"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Surah Ar-Rahman; 48)
"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir." (Surah Ar-Rahman; 50)
"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan." (Surah Ar-Rahman; 52)
"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat." (Surah Ar-Rahman; 54)
"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin." (Surah Ar-Rahman; 56)
"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang memancar." (Surah Ar-Rahman; 66)
"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." (Surah Ar-Rahman; 70)
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)
"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim; 23)
"Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezeki di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Maryam; 62)
"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)
"Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta." (Surah Yasin; 57)
"(Bagi mereka) syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka didalamnya adalah sutera." (Surah Fathir; 33)
"....Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (Surah Al-Furqan; 76)
Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. Ampunkahlah dosa-dosa kami.